Tuesday, July 13, 2010

Mengapa Malaysia tidak pernah layak ke Piala Dunia?

WRITTEN BY ZAKI SAMSUDIN
Pertandingan Piala Dunia Bolasepak 2010 di Afrika Selatan sudah hampir ke penghujungnya. Sudah hampir sebulan peminat bolasepak di Malaysia bersorak menyaksikan pertarungan antara negara-negara selain daripada negara tanahair mereka sendiri. Dalam keghairahan bersorak pasti ramai yang tertanya, ‘Bilalah agaknya pasukan kebangsaan Malaysia akan beraksi di pusingan akhir Piala Dunia?’

Melihat pada prestasi pasukan kebangsaan sepanjang beberapa tahun yang lalu, agak mustahil Malaysia dapat beraksi di pentas Piala Dunia. Senarai ranking mutakhir Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) meletakkan Malaysia di tangga 146, setaraf dengan ‘gergasi’ bolasepak yang lain seperti Turkmenistan, Burundi dan Madagascar.

Walhal, kurang 30 tahun yang lalu pasukan bolasepak kebangsaan duduk setaraf dengan Jepun dan Korea Selatan yang sudah berturut kali layak ke pusingan akhir Piala Dunia.  Saya sempat menyaksikan pertarungan antara Malaysia dan Jepun sebanyak dua kali di Stadium Merdeka pada tahun 1980-an. Pertamanya di peringkat separuh akhir Pestabola Merdeka 1986: Malaysia menang 2-1 dalam masa tambahan. Perlawanan kedua ialah di pusingan kelayakan Piala Asia 1988: Malaysia tewas 0-1.

Sekarang, sekiranya Malaysia berjaya menewaskan Jepun ataupun tewas tipis di tangan mereka, pasti dianggap kejayaan yang sangat besar.  Walaupun tewas 0-1 pada tahun 1988, hakikatnya Malaysia pada perlawanan tersebut menguasai pasukan Jepun sepanjang tempoh perlawanan.  Kekalahan tipis ketika itu dianggap cukup mendukacitakan.  

Kemerosotan pasukan bolasepak kebangsaan boleh dilihat daripada pelbagai sudut.  Yang pasti, kemerosotan ini banyak mencerminkan beberapa perkara  ‘pelik’ yang berlaku di dalam negara.

Pertama, jika dilihat pada barisan pemain kebangsaan sekarang, sudah tidak ada lagi pemain berbangsa Cina yang menyarung jersi kebangsaan. Malah, hanya S. Kunalan, pemain dari Negeri Sembilan yang merupakan pemain bukan Melayu tunggal yang sering turun dalam kesebelasan utama pasukan kebangsaan.

Sudah pasti kemerosotan prestasi pasukan bolasepak kebangsaan bukan kerana tiadanya pemain berbangsa Cina. Cuma, apa yang berlaku ialah menularnya polarasi kaum dalam arena sukan negara.

Bolasepak kini boleh dianggap sukan untuk kaum Melayu sahaja, manakala kaum Cina lebih tertumpu pada acara sukan lain seperti bola keranjang dan bola tampar . Dalam bersukan pun sudah kurang integrasi antara kaum! Bukankah ini sesuatu yang amat menyedihkan?

Saya percaya kepelbagaian kaum dalam sebuah pasukan bolasepak ada manfaatnya.  Lihat saja pada pasukan Jerman dalam kejohanan Piala Dunia kali ini. Dalam kesebelasan utama pasukannya yang membenam England dan Argentina, ada permain yang berbangsa Turki, ada yang berasal dari Ghana dan Tunisia, dan di bangku simpanan ada pemain-pemain yang berasal dari Sepanyol dan Brazil. 

Pemain-pemain ini membawa pembaharuan dalam corak permainan pasukan Jerman.  Jika sebelum ini mereka dianggap hanya bergantung kepada disiplin dan organisasi permainan yang tinggi, pasukan Jerman kali ini dilihat mempamerkan aksi menyerang yang baik dan kreatif.

Jangan dipolitikkan sukan


Pasukan kebangsaan Malaysia dahulunya punya kelebihan ini.

Pemain-pemain Melayu dan India lebih exspresif mempamerkan skil permainan manakala pemain-pemain berbangsa Cina dan Sikh punya daya tumpuan dan disiplin yang tinggi. Maka, tidak hairan jika dilihat pada senarai pemain kebangsaan pada tahun 1970-an dan awal 1980-an, tembok pertahanan negara dibarisi pemain-pemain seperti Soh Chin Aun, Santokh Singh, Lee Kin Hong dan Serbegeth Singh; dan tonggak serangan digalas pemain seperti Mokhtar Dahari, Shukor Salleh, Hassan Sani dan Zainal Abidin Hassan.

Budaya yang berbeza membawa gaya permainan yang berbeza, dan ini membawa manfaat bila diadun dengan sempurna. 

Seperkara lagi yang menyedihkan dalam bolasepak negara ialah penglibatan ahli-ahli politik. Memang benar, daripada sudut kewangan penglibatan ahli-ahli politik itu membawa manfaat. Mereka mampu menarik dana yang diperlukan untuk mengurus persatuan bolasepak tempatan. Selain daripada itu, penglibatan mereka sebenarnya tidak perlu. 

Saya tidak faham misalnya mengapa jawatan presiden persatuan-persatuan bolasepak negeri sering dipegang menteri-menteri besar. Tidak cukupkah kerja di pejabat menteri besar sehingga perlu mencari kerja tambahan mengurus persatuan bolasepak?  Mengapa tidak dibiarkan sahaja pentadbir profesional mentadbir dan membuat keputusan?

Saya percaya ramai menganggap penglibatan ahli-ahli politik ini tidak lebih daripada usaha mencari publisiti murahan.        

Kita tidak mahu ahli-ahli politik masuk campur kerana tidak mahu ‘penyakit politik’ meresap dalam bolasepak. ‘Penyakit’ yang paling ketara ialah kurangnya fokus pada rancangan jangka panjang. Banyak dana dan tenaga lebih tertumpu pada kejayaan serta merta. Siapa di kalangan ahli-ahli politik yang mahu membuang masa merancang pelan jangka panjang seperti ‘Malaysia ke Piala Dunia 2018’? Tahun 2018 itu sangat jauh dan jangka hayat politik mereka mungkin tamat sebelum itu.

Sekiranya perancangan rapi dibuat, saya percaya pasukan bolasepak kebangsaan mampu bersaing di peringkat antarabangsa. Saiz dan tubuh pemain yang kecil tidak lagi boleh dijadikan alasan. Pemain-pemain Jepun dan Korea Selatan sudah membuktikan ia bukanlah penghalang untuk mengecap kejayaan. Kejayaan pasukan kebangsaan merangkul pingat emas Sukan SEA tahun lalu perlu dijadikan asas kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan.

Bersorak untuk pasukan Brazil, Sepanyol dan Argentina dalam pertandingan Piala Dunia banyak membawa kepuasan. Namun, bagi setiap peminat bolasepak di tanahair, tidak ada yang lebih memuaskan dan membanggakan daripada bersorak untuk pasukan Malaysia dan mendengar lagu Negaraku berkumandang di stadium. Bilalah agaknya impian ini boleh menjadi kenyataan?