Friday, January 15, 2010

Perjuangan penduduk rumah panjang Subang selama 16 tahun

Penduduk rumah panjang Subang yang dijanjikan rumah dalam 18 bulan kecewa kerana harapan mereka untuk berpindah ke rumah baru telah melangkah tahun ke-16. Pada asalnya mereka ialah penduduk kampung Bunga Raya dan telah ditempatkan di rumah panjang buat sementara waktu sehingga mereka mendapat rumah baru yang telah dijanjikan. Namun penantian selama 18 bulan yang dijanjikan bertukar menjadi 16 tahun dan sehingga kini mereka tidak mendapat sebarang kata putus daripada pihak yang berkenaan. Kini bilangan keluarga pula telah bertambah daripada 74 kepada 114 buah keluarga.

Menurut Balakrishnan (55 tahun), mereka dijamin rumah baru yang bernilai RM42,000 tetapi akan diberi yang hanya bernilai RM32,000 untuk penduduk-penduduk ini. Malah mereka juga telah dijanji akan dibayar duit pampasan sebanyak RM7000 bagi sebuah rumah. Namun kini mereka memberi alasan kegagalan sesetengah penduduk untuk mendapatkan pinjaman sebab faktor usia dan ada yang disenarai hitam untuk melengahkan mereka. Apa yang menghairankan ialah terdapat beberapa keluarga telah habis membuat bayaran penuh kepada bank untuk rumah yang dijanjikan tetapi masih tidak tahu di manakah rumah mereka. Penduduk rumah panjang sedar akan lokasi yang telah dijanjikan kepada mereka untuk perumahan baru telah bertukar menjadi Subang Permai yang menjadi taman perumahan rumah mewah. Para penduduk hanya menyimpan surat pernjanjian tawaran rumah (SPM) yang diberi oleh Sinar Fadilan Development dan tiada bukti yang lain.

Kini penduduk rumah panjang berhadapan dengan pelbagai masalah. Mereka sedang berhadapan dengan masalah takungan tangki kumbahan. Mereka juga sedang berkongsi satu meter air untuk 114 keluarga dan akan berkongsi bayaran yang melebihi RM2000 sebulan. Malah masalah jenayah dalam kalangan pemuda semakin menjadi serius seperti pengedaran dadah dan juga gengsterism. Malah mereka juga sedang sengsara kerana tiada kemudahan pengangkutan, tiada taman permainan dan masa depan anak- anak mereka menjadi tanda tanya. Berikut ialah soalan yang dituju oleh penduduk rumah panjang Bunga Raya terhadap kerajaan. “Kenapa hal ini tidak mendapat respons daripada UMNO yang dahulunya telah memulakan program perumahan baru buat kami? Adakah hanya rakyat yang bertanggungjawab dalam menyelesaikan segala kesulitan yang dihadapi semasa membuat permohonan di bank. Jadi kenapa kerajaan harus menyuruh penduduk pindah sekiranya mereka tidak dapat menyelesaikan masalah berkenaan bank? Adakah Kerajaan Pakatan akan mengambil berat akan isu ini?”

rp-1

rp-2