SHAH ALAM, 18 Januari - Dua buah keluarga India sedang mengharungi kehidupan harian tanpa kemudahan elektrik sejak 5 tahun yang lalu. Situasi menyedihkan ini berlaku di Rumah Pangsa Hicom BBR. Selepas kematian kedua-dua ibu bapa dan ditinggalkan suami tiga tahun lalu Pn.Chandragantha Kuppusamy (43 tahun) sedang tinggal di rumah tersebut bersama empat orang anaknya dan abang sulungnya Mathurai Veeran Kuppusamy (44 tahun) yang tidak sihat. Pendapatan tidak seberapa yang diperolehi oleh anak Chandragantha yang berumur 20 tahun serta sedikit bantuan yang diberi oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) digunakan untuk menampung perbelanjaan harian mereka. Disebabkan tidak mampu bayar bil sebanyak RM 438.00 bekalan elektrik di rumah mereka telah diputuskan. Setelah sekian lama mengharungi hidup dalam kegelapan anak Chandragantha yang berhasrat menyambut deepavali telah membawa RM300 untuk membayar bil elektrik. Tetapi dia pulang dengan kecewa kerana diberitahu rekod mereka telah dihapuskan daripada pendaftaran elektrik kerana sudah lama tidak membuat sebarang pembayaran. Malah mereka kena bayar RM600 untuk membuat permohonan baru bagi mendapatkan bekalan elektrik ke rumah tersebut.
Selain itu, Pn. Murugammah Renggasamy (59 tahun) sedang menjaga anaknya berumur 30 tahun yang terlantar di katil kerana tidak sihat di sebuah rumah sewa yang tiada elektrik dan air. Dia mengalami kehidupan yang sukar tanpa elektrik dan air dan menjalani hidupnya dengan mendapat bekalan air yang sedikit daripada jiran mereka setiap hari. Melihat cucunya membaca di ruang tamu dengan sedikit cahaya yang memasuki ruang tersebut daripada rumah depan amat menyedihkan hati.