Ibrahim Ali menyangkal tuduhan yang Umno, Pekida dan Perkasa akan mengacau perhimpunan anjuran Hindraf Ahad ini.
KUALA LUMPUR: Satu laporan polis dibuat terhadap Hindraf kerana mendakwa Umno, Pekida, dan Perkasa akan mengacau satu perarakan aman yang akan dianjurkan pertubuhan tersebut Ahad ini.
Laporan polis itu dibuat oleh Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini hari ini.
Ibrahim berkata, Perkasa semalam menerima satu salinan surat (melalui e-mel) yang ditulis Pengerusi Hindraf P Waytha Moorthy memfitnah Perkasa dan Pekida sebagai alat Umno untuk menimbulkan huru-hara pada perhimpunan itu nanti.
Bertajuk “Rayuan kepada kerajaan antarabangsa, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dan beberapa NGO terhadap kemungkinan Umno disebalik keganasan”, Waytha Moorthy menghantar surat itu kepada 21 penerima, antaranya Setiausaha Hal Ehwal Semasa Politik Amerika Syarikat, Setiausaha Pejabat Komanwel dan Negara Luar di London, dan beberapa pertubuhan hak asasi antarabangsa.
Waytha Moorthy dalam suratnya menyatakan kebimbangan beliau yang Umno akan bekerjasama dengan Perkasa dan Pekida untuk menyebabkan huru-hara pada hari tersebut.
Berikutan itu, beliau berkata Hindraf juga telah menulis surat kepada Ketua Polis Negara meminta perlindungan dan kerjasama, selain aduan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (Suhakam).
Namun, Ibrahim dalam laporan polisnya menafikan dakwaan surat tersebut dan menegaskan Perkasa sama sekali tidak akan terlibat dalam mana-mana penganjuran perhimpunan haram.
“Selaku Ahli Parlimen Pasir Mas serta Presiden Perkasa, saya akan menghantar surat maklum balas menjawab tuduhan Waytha Moorthy kepada kesemua 21 orang diperingkat antarabangsa supaya dapat membersihkan nama baik kerajaan, rakyat Malaysia, Perkasa dan Pekida.
“Kebetulan juga 24 Februari ini saya akan bertemu dengan salah seorang pegawai tertinggi Kedutaan Amerika dan saya akan memberikan penjelasan bahawa gambaran yang diberikan pihak terbabit tidak benar,” katanya kepada pemberita.
Hindraf dijangka mengadakan satu perhimpunan aman bermula di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan berakhir di IPD Dang Wangi dimana 1,000 tandatangan pengadu dikumpul bagi membuat laporan polis terhadap kerajaan dan Perdana Menteri yang dituduh masih mengamalkan perkauman.
Ibrahim berkata dakwaan itu hanya sebagai alasan untuk Hindraf merancang satu suasana tegang sehingga mencetuskan huru-hara seperti yang berlaku di Tunisia dan Libya sekarang.
“Dalam demonstrasi jalanan, apa pun boleh berlaku. Jika ada yang cedera, mereka akan salahkan polis,” katanya.
Sehubungan itu, Ibrahim dalam laporan polisnya turut menggesa polis bertindak tegas terhadap Hindraf yang digelarkannya sebagai pertubuhan haram dan amat merbahaya.