Wednesday, February 2, 2011

Cikgu! Penari Kathakali tidak pakai topeng

Sebagai individu yang diakui sudah ‘dewasa’ dan ‘matang’, pelajar perlu berani bersuara semasa perbincangan di kelas. Adik-adik sekalian,
COMMENT
Kita sambung perbincangan yang ditangguhkan semalam. Sebagai pelajar dan remaja yang sudah diberi lesen ‘dewasa’ dan ‘matang’ oleh pelbagai persatuan penulis mewakili kaum tertentu dan NGO kaum tertentu, anda boleh membaca secara terperinci kisah di halaman 210-284, novel Interlok edisi murid dan mencatatkan jati diri Maniam, jika ada.
Maniam hanya ‘menyaksikan pawai gajah yang dihiasi dalam perayaan Onam di pekan Tricur’ (halaman 211). Tiada apa-apa bukti menunjukkan identiti keturunannya sebagai seorang Malayali (Malayalam); termasuk namanya!
Upacara perkahwinan Maniam-Malini di Malaya disempurnakan mengikut budaya keturunan Tamil, iaitu keturunan Perumal (bapa Malini) yang berasal dari Madras, Tamil Nadu, India. Malah, ‘pesta perkahwinan’ itu digambarkan sebagai ‘upacara yang meletihkan’ (halaman 229).
Sejak masih berada di ‘sebuah desa yang terletak berdekatan dengan Tricur, Kerala, sebuah negeri di pantai barat India Selatan’ (halaman 210) hinggalah ke saat Maniam ‘hanya berdoa dalam hatinya, untuk keselamatan anaknya’ (halaman 288), tidak ada apa-apa penanda dan petanda yang nyata untuk menunjukkan Maniam ada sebarang jati diri sebagai seorang Malayali (Malayalam) beragama Hindu; kecuali bahawa – syukur, segala pujian hanya bagi-Mu, Tuhan! – ‘Sebagai orang Hindu, lembu tidak boleh disembelih dan dimakan dagingnya’ (halaman 215).
Sebenarnya, ‘alasan’ mengenai sebab kaum India tidak makan daging lembu seperti digambarkan dalam Interlok edisi murid lebih berciripurana dan bukannya fakta. Siapakah agaknya ‘a scholar from University of Malaya’s Indian Studies Department’ (New Sunday Times, 23 Januari 2011) yang menjadi ‘pakar rujuk’? Entahlah, segalanya masih menjadi ‘misteri nusantara’ (common noun).
Sekurang-kurangnya anda tahu bahawa Maniam bukan Paria (proper noun) atau paria (common noun) kerana istilah itu sudah terbukti merujuk secara khusus kepada ‘kumpulan manusia yang makan daging lembu’ (common noun). Ini baru fakta, dan ini juga mungkin fakta baru untuk anda.
Dramatari Kathakali
Adik-adik sekalian,
Maniam juga tidak tahu apa-apa mengenai budaya Malayali walaupun dia lahir dan membesar di Kerala sebelum menjadi ‘pendatang’ di Malaya pada usia 30 tahun. Ops, maaf! Pendatang(proper noun), bukan pendatang (common noun).
Maniam sangat suka melihat penari-penari Katha-kali yang memakai topeng dan melakonkan kisah-kisah lama. (halaman 211)
Petikan di atas menunjukkan bahawa Maniam – atau Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain (Pak Lah)? atau pakar runding/rujuk penuh ‘misteri nusantara’ dari Jabatan Pengajian India, Universiti Malaya? – tidak tahu apa-apa mengenai Kathakali iaitu suatu bentuk dramatari yang mula ditarikan di Kerala oleh orang Malayalam (Malayali) mulai abad ke-17.
Salah satu kehebatan dan keunikan Kathakali adalah bahawa penari/pelakon mengenakan solekan (mekap) yang tebal pada muka. Saya mengkaji Kathakali semasa mengaji di Universiti Malaya (1993-1998) serta menulis makalah dan cerpen mengenai dramatari itu, serta pelbagai aspek budaya kaum India. Maka, saya tahu bahawa watak Maniam dalam novel Interlok edisi murid tidak tahu apa-apa mengenai Kathakali.
Dalam hal ini, seorang pensyarah, penyair dan penterjemah terkemuka dalam kosmos sastera Melayu tempatan tampil mempertahankan kesalahan fakta mengenai Kathakali (baca: menegakkan benang yang basah) dengan mengatakan ia berciri faksyen (faction) dan ‘the author wanted to incorporate something new or different into his story’ (New Sunday Times, 23 Januari 2011).
Bukan model yang sesuai
Adik-adik sekalian,
Ringkasnya, watak Maniam dalam novel Interlok edisi murid bukan model yang sesuai untuk dijadikan ‘cerminan’ jati diri kaum India beragama Hindu di Malaysia; khususnya generasi muda yang mahu tahu mengenai sejarah nenek-moyong yang datang dari India.
Segala perkara berkaitan Maniam dan kehidupannya (termasuk budaya) seperti yang diangkat dan dijulang dalam novel Interlok edisi murid hanyalah imaginasi liar seorang pakar runding/rujuk penuh ‘misteri nusantara’ dari Jabatan Pengajian India, Universiti Malaya yang mungkin boleh dianggap sebagai ‘tangan halus’ (common noun) yang berjaya menyesatkan Pak Lah yang tidak bersalah.
Sayang sekali tiada kisah terperinci mengenai 119 Paria lain yang datang bersama-sama Maniam menaiki kapal ke Pulau Pinang pada Julai 1910. Mungkinkah ada dalam kalangan mereka yang lebih ‘berjaya’ berbanding watak Maniam?
Analisis kritikal dan waras seperti ini – ‘you need to look at it in the context of history, sociology and social linguistics to get the right message’ (New Sunday Times, 23 Januari 2011) – perlu anda lakukan sendiri tanpa berkiblatkan buku-buku panduan menjawab soalan peperiksaan yang membantutkan niat murni Kementerian Pelajaran (baca: Kerajaan, proper noun) menjadikan anda benar-benar ‘dewasa’ dan ‘matang’ menerusi pembacaan novelInterlok edisi murid yang dijadikan teks Komsas di Zon Tengah.
Semoga panduan yang saya berikan selama ini membantu anda menjadi pelajar yang benar-benar ‘dewasa’ dan ‘matang’ serta berani menyerap reformasi dalam pemikiran.