Para ibu tunggal dilanda kerisauan
KLANG, 6, Januari - Bagi ibu bapa yang berpendapatan rendah, perbelanjaaan persekolahan anak-anak mereka menjadi beban pada setiap permulaan tahun. Terutamanya para ibu tunggal yang berpendapatan amat rendah menghadapi kesukaran sebab tidak mampu membiayai perbelanjaan persekolahan anak-anak mereka. M. Janaki, 49 tahun, yang tinggal di Jalan Tepi Sungai telah mendedahkan kepada Persatuan Pengguna Klang tentang kesusahannya yang tidak mampu membiaya perbelanjaan persekolahan tiga orang anaknya.
Akibat didera oleh suami, Janaki telah berpisah dengan suaminya yang ketagih minuman keras empat tahun lalu. Kini dia bekerja sebagai pembersih (cleaner) dengan pendapatan RM600 sebulan. “Namun duit tersebut hanya bertahan selama 10 hari selepas membayar sewa rumah, bil air dan elektrik, tambang bas sekolah, perbelanjaan harian, duit saku anak- anak serta kos pangangkutan”, kata Janaki yang hanya mempunyai kad pengenalan merah sambil mengesat air matanya.
Beliau tidak pernah mendapat sebarang pekerjaan yang tetap kerana kad pengenalan berwarna merah. Beliau amat bimbang akan masa depan anak-anaknya S.Rajendran (13 tahun), S.Selvi (11 tahun) dan S. Yogisha (9 tahun). Pendapatannya tidak cukup untuk makan dan minum dan terpaksa berhutang untuk menampung perbelanjaan asas.