SHAH ALAM, 16 April 2011 – Seorang ibu di sini melahirkan rasa kecewa terhadap sikap pengetua sebuah sekolah menengah kebangsaan yang tidak mahu mengambil tindakan terhadap lapan pelajar yang memukul anaknya.
Ibu itu berkata, dalam kejadian pada 13 April 2011, anaknya mengalami kecederaan teruk selepas dipukul di kawasan sekolah.
“Selepas membawa anak saya ke hospital bagi mendapat rawatan, saya ke balai polis untuk membuat laporan kerana bimbang berikutan anak saya luka di kepala, tangan dan lebam di badan,” kata suri rumah itu dalam aduannya kepada Uthaya Sankar SB dari Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya (Uthaya’s Media, Motivation and Publication Consultancy), di sini, hari ini.
Menurut keterangan bertulis oleh salah seorang saksi, pelajar Tingkatan Tiga itu dipukul menggunakan kerusi sebelum dipijak, ditendang dan dibaling kasut oleh lapan pelajar Tingkatan Empat.
“Pada pagi 15 April, saya ke sekolah untuk bertemu pengetua tetapi kecewa kerana terpaksa menunggu lebih sejam. Pengetua datang lewat ke sekolah dan kemudian duduk makan di kantin.
“Apabila akhirnya saya bertemu beliau, pengetua itu berkata, beliau tidak mahu masuk campur kes ini walaupun kejadian berlaku di kawasan sekolah,” kata suri rumah itu.
Satu sidang media dijadualkan pada pagi 17 April 2011 di Taman Sri Muda, di sini, di mana suri rumah berkenaan akan mengemukakan salinan laporan polis, salinan keterangan saksi dan salinan foto kecederaan mangsa, selain menjawab pertanyaan wakil media.
Wakil media yang berminat membuat liputan kes ini diminta menghubungi Uthaya melalui talian 016-3288142 atau uthayasb@yahoo.com.my untuk maklumat lanjut.
Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya menyediakan perkhidmatan rundingan media secara percuma kepada anggota masyarakat yang memerlukan panduan cara-cara bekerjasama dengan wakil media.