Sentimen masyarakat India terhadap buku tersebut juga begitu.
Sentimen kemarahan yang ditunjukkan badan bukan kerajaan masyarakat India terhadap Interlok edisi murid sebenarnya tidak banyak berbeza dengan masyarakat Melayu dan Umno dalam tahun 1950an.
Pada tahun 1952, Setiausaha Agung Umno Zulkifli Hashim telah menyeru masyarakat Melayu agar membakar buku ensiklopedia bertajuk ‘Oxford Junior Encyclopaedia’ dalam satu majlis minum petang anjuran bersama Umno dan MCA.
Ucapan beliau ini dilaporkan oleh akhbar The Straits Times bertarikh 16 Disember 1952.
Alasannya, ensiklopedia 12 jilid tersebut menggambarkan Melayu sebagai masyarakat yang ketinggalan, biasa dengan pemerintahan autokratik kesultanan Melayu dan bangsa pemalas.
Jika Umno sendiri mahu membakar ensiklopedia tersebut, seruan kumpulan pendesak seperti Badan Bertindak Interlok Kebangsaan (Niat) agar Interlok edisi murid oleh Abdullah Hussain tidak digunakan wajar dipertimbangkan.
Mereka sama sekali tidak membakar Interlok, malah pindaan hanya akan mencacatkan kelangsungan cerita Interlok.
Setelah 106 pindaan dikemukakan, Niat masih belum berpuas hati. Hujah mereka, perkataan boleh bersilih ganti namun pengertian masih sama. Tambahan pula keretakan hubungan kaum jelas kelihatan ekoran kontroversi ini.
Perspektif politik
Kepimpinan negara juga perlu melihat isu ini dari perspektif politik. Apakah kerajaan Barisan Nasional mampu bertahan sekiranya tsunami politik kedua melanda.
Pilihanraya umum 2008 memperlihatkan 90% undi masyarakat India jatuh ke tangan Pakatan Rakyat.
Sekarang adakah BN di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak boleh bertahan dengan kombinasi kontroversi Al- Kitab dan Interlok?
Perlu diingat di sini bahawa meskipun masyarakat India hanya mempunyai majoriti pengundi di Dewan Undangan Negeri Buntong, tetapi terdapat lebih 80 kerusi parlimen dan negeri di mana mereka menjadi faktor penentu kejayaan calon.
Di dalam BN sendiri, satu-satunya faktor yang menyebabkan masyarakat India mengembalikan sokongan adalah kerana faktor ‘Najib’.
Penulis sendiri pernah menghadiri satu majlis di mana Najib mengalu-alukan sumbangan masyarakat Malayalam. Pemimpin MIC sendiri tidak menerima sambutan mesra seperti yang diterima Najib.
Takkan kerana mempertahankan sebuah karya, BN sanggup kehilangan kuasa. Bak kata pepatah, menang sorak kampung tergadai.